Bagaimana kami boleh membantu anda ?
Unit Penyelarasan Pelaksanaan
Jabatan Perdana Menteri

Aktiviti 2018

Sugih Jenama Rasmi Produk SDSI Di Daerah Sepang
Sugih Jenama Rasmi Produk SDSI Di Daerah Sepang
Daerah Sepang telah dipilih sebagai projek perintis Program Peningkatan Prestasi Keupayaan Dan Daya Saing Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKPKS) sub-program SDSI dengan jenama produk SUGIH. Perkataan SUGIH dipilih kerana ianya sinonim dengan masyarakat jawa di Daerah Sepang selain membawa maksud kaya. Projek ini bermula pada 10 Ogos 2017 yang lalu dan mengambil masa selama 14 bulan sebelum penyerahan pembungkusan produk diadakan pada 18 Oktober 2018. Seramai lebih kurang 30 usahawan terlibat di bawah jenama SUGIH merangkumi 4 kluster SDSI iaitu makanan/minuman, produk/perkhidmatan kesihatan, produk kraf dan homestay. Usahawan-usahawan SDSI telah diberi latihan dan pendedahan bagi meningkatkan kualiti produk, pembangunan modal insan, penjenamaan, pelabelan, pembungkusan produk, promosi dan pembelian online (BizApp Mall) bagi produk-produk di bawah PKPKS Sepang ini. 

PKPKS merupakan inisiatif Kerajaan Malaysia bagi memperkukuh komuniti ekonomi bumiputera di bawah Rancangan Malaysia Ke-11. Tiga (3) objektif utama PKPKS adalah bagi membimbing usahawan daerah agar menghasilkan produk yang berkualiti dan berdaya saing serta menembusi pasaran luar negara, memberi pendedahan kepada usahawan daerah agar mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka secara maya dengan lebih efektif selain merakyatkan ekonomi digital kepada golongan belia, usahawan kecil dan kumpulan B40 dan M40. Program ini diterajui oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) dengan kolaborasi Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani (MOA), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan Malaysia (MoTAC) dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) manakala SIRIM Berhad bertindak sebagai agensi pelaksana. 

Maklumat lanjut berkaitan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh jenama SUGIH boleh didapati melalui laman web www.sugih.my. Apa yang lebih menarik, anda boleh membeli belah jenama SUGIH secara atas talian dan mengalami sendiri teknologi terbaharu panorama 360 darjah Homestay Banghuris, Sepang sebagai destinasi pilihan percutian anda!.
GALERI GAMBAR
Klik pada gambar untuk paparan sebenar

Sumber : Seksyen SDSI, Bahagian Kesejahteraan Rakyat
Kemas kini 22/10/2018

523 Capaian