Bagaimana kami boleh membantu anda ?
Unit Penyelarasan Pelaksanaan
Jabatan Perdana Menteri

Aktiviti 2018

Program Lawatan Ke Projek Perusahaan SDSI Daerah Pontian, Johor
Program Lawatan Ke Projek Perusahaan SDSI Daerah Pontian, Johor
Unit Integriti dengan kerjasama Bahagian Khidmat Pengurusan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) telah mengadakan Lawatan ke Projek Perusahaan Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Daerah Pontian, Johor pada 21 Julai 2018 bersamaan hari Sabtu. Lawatan tersebut bertempat di Pine Food Enterprise, Kampung Parit Selangor, 82000 Pontian, Johor. Bilangan peserta yang terlibat bagi lawatan ini adalah seramai sembilan (9) orang. 

Projek SDSI tersebut dimiliki oleh seorang usahawan wanita, Puan Nureleena Binti Sadikon. Produk projek perusahaan ini adalah berasakan kepada buah nanas yang merupakan tanaman utama di Daerah Pontian. Usahawan tersebut mengusahakan tanaman nanas di atas 2 ekar tanah dengan dibantu oleh dua (2) orang pekerja. Hasil tanaman tersebut dijual kepada orang awam melalui tiga (3) saluran. Saluran pertama dilaksanakan dengan cara jualan secara langsung dari rumah kepada peniaga tempatan yang akan menjual semula di tempat lain. Saluran kedua adalah melalui jualan di tapak pasar malam dan saluran ketiga adalah melalui jualan terus kepada pelanggan di hadapan rumah. 

Pine Food Enterprise juga turut mengeluarkan beberapa produk berasaskan nanasnya yang tersendiri yang merupakan salah satu produk yang popular di Pontian. Produk-produk tersebut adalah seperti jem, sos cili, jus nanas, kuih tart dan air kordial minuman. Produk-produk ini dihasilkan sendiri oleh usahawan tempatan dengan menggunakan mesin elektronik berskala sederhana. Kerja-kerja penghasilan produk ini dibantu oleh seorang pekerja. Produk-produk berasaskan nanas ini dipamerkan dan dijual secara terus kepada pelanggan di sebuah kedai yang dibina di hadapan rumah usahawan. Kedai tersebut juga turut menempatkan ruang menjual nanas-nanas segar kepada pelanggan. 

Pelanggan Pine Food Enterprise terdiri daripada beberapa kategori iaitu orang awam, agensi kerajaan dan agensi swasta. Kebanyakan pelanggan membeli produk Pine Food Enterprise untuk dijadikan sebagai cenderahati (doorgift) bagi majlis kenduri dan majlis-majlis rasmi agensi kerajaan dan juga swasta. Pine Food Enterprise sentiasa mendapat maklum balas yang baik daripada pelanggan-pelanggan yang memilih produk-produknya.

Pine Food Enterprise merupakan salah satu daripada hasil perusahaan bumiputera di Daerah Pontian. Usahawan bumiputera ini berharap agar produk-produk perusahaannya dapat dipelbagaikan lagi dan agar produk-produk tersebut dapat dipasarkan dalam pasaran yang lebih luas, bukan sahaja dalam kalangan penduduk setempat tetapi juga kepada pelanggan-pelanggan di luar Daerah Pontian.

Berdasarkan kepada kualiti dan pengalaman lawatan ini, peserta-peserta berpendapat bahawa Pine Food Enterprise memiliki potensi untuk diluaskan ke pasaran luar. Program SDSI seperti ini pastinya dapat membantu usahawan-usahawan kecil dan sederhana seperti Puan Nureleena untuk mempromosikan produk-produk keluarannya. Semoga Pine Food Enterprise akan terus cemerlang di masa akan datang.
GALERI GAMBAR
Klik pada gambar untuk paparan sebenar

Sumber : Waheeda Binti Mohd Idris
Kemas kini 25/09/2018

675 Capaian