Bagaimana kami boleh membantu anda ?
Unit Penyelarasan Pelaksanaan
Jabatan Perdana Menteri

Aktiviti 2018

Laporan Ketua Audit Negara
Laporan Ketua Audit Negara
Pengauditan boleh ditakrifkan sebagai suatu pemeriksaan,analisa dan nilaian yang berterusan dan sistematik ke atas penyata kewangan, rekod, operasi dan pentadbiran sesuatu organisasi bagi menentukan sama ada prinsip-prinsip am perakaunan, polisi-polisi pengurusan, peraturan dan prosedur dipatuhi. Pengauditan dilaksanakan bagi memastikan bahawa kehendak undang-undang dan peraturan telah dipatuhi, mendedahkan faktor atau elemen yang tidak mendorong kepada kecekapan, keberkesanan dan ekonomi berhubung dengan perakaunan Negara dan memberi pendapat sama ada penyata kewangan menunjukkan satu kenyataan yang benar dan munasabah mengenai kedudukan dan ketepatan rekod-rekod mengikut piawaian pengauditan yang diterima pakai.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) merupakan salah satu komitmen Kerajaan dalam membentangkan pengauditan pengurusan kewangan negara. LKAN ini dibentangkan dua kali setahun di Parlimen dan diikuti dengan Town hall Session Susulan Laporan Ketua Audit Negara bersama media yang merupakan platform kepada pihak media untuk mendapatkan maklum balas atau penjelasan secara langsung berkaitan isu-isu yang dibangkitkan dalam LKAN. Dalam sesi tersebut, Ketua Setiausaha Negara bersama dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Audit Negara bersama-sama dengan Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri, Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan akan hadir dan mendengar pembentangan LKAN dan bersedia untuk menjawab sebarang persoalan berkaitan laporan tersebut yang dibangkitkan oleh pihak media.

Pengauditan yang dilaksanakan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) adalah selaras dengan Perkara 106 dan 107 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Audit 1957 [Akta 62] yang menghendaki Ketua Audit Negara mengaudit penyata kewangan, pengurusan kewangan, aktiviti Kementerian/Jabatan /Agensi serta pengurusan syarikat Kerajaan Persekutuan dan mengemukakan laporan mengenainya ke Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk mendapatkan perkenan supaya laporan itu dibentangkan di Dewan Rakyat. Bagi memenuhi tanggungjawab ini, JAN telah melaksanakan empat jenis pengauditan yang meliputi pengauditan penyata kewangan, pengauditan pematuhan, pengauditan prestasi dan pengauditan pengurusan Syarikat Kerajaan.

Pengauditan tersebut boleh dibahagikan seperti berikut ;
  1. Pengauditan Penyata Kewangan - Menggambarkan kedudukan kewangan berdasarkan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan.
  2. Pengauditan Pematuhan - Penilaian sama ada pengurusan kewangan di Kementerian/Jabatan Persekutuan telah dilaksanakan mengikut undang-undang dan peraturan kewangan yang berkaitan.
  3. Pengauditan Prestasi - Penilaian sama ada sesuatu aktiviti Kerajaan Persekutuan dilaksanakan dengan cekap, berhemat dan mencapai objetif yang ditetapkan dan
  4. Pengauditan Pengurusan Syarikat Kerajaan - Penilaian sama ada pengurusan syarikat Kerajaan Persekutuan telah dilaksanakan dengan teratur.

Pengauditan prestasi telah dilaksanakan oleh JAN bukan sahaja berdasarkan kepada peruntukan yang telah ditetapkan di dalam Seksyen 6 (d), Akta Audit 1957 malah turut berpandukan kepada piawaian pengauditan antarabangsa yang dikeluarkan oleh International Organisation of Supreme Audit Institutions (INTOSAI). Aspek pengauditan yang dilaksanakan meliputi aspek perolehan, pembinaan, pelaksanaan program, naiktaraf dan pengurusan hasil. LKAN 2016 Siri 2 telah dibentangkan di Parlimen pada 27 November 2017. Laporan ini mengemukakan 240 syor seperti berikut;
  1. 74 syor melibatkan aktiviti KementerianJabatan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan
  2. 36 syor melibatkan pengurusan syarikat Kerajaan dan Agensi Kerajaan Persekutuan
  3. 130 syor melibatkan aktiviti KementerianJabatanAgensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri

Media telah membuat liputan mengenai LKAN dan telah dilaporkan di dalam Berita Harian pada Selasa, 28 November 2017 susulan laporan tersebut dibentangkan di Parlimen pada 27 November 2017. Dalam hubungan ini, JAN telah memaklumkan bahawa kelemahan dalam pelaksanaan program/projek berpunca daripada perkara berikut;
  1. Kurang tahap komunikasi dan koordinasi antara agensi-agensi berkaitan.
  2. Pemantauan dan penyeliaan yang tidak menyeluruh oleh agensi yang bertanggungjawab.
  3. Kelemahan di peringkat perancangan program/projek.
  4. Kelemahan dalam sistem pengurusan pembayaran.
  5. Tiada kajian keberkesanan projek dilaksanakan

Kelemahan dalam pelaksanaan program/projek menyebabkan perkara berikut:
  1. Masa dan kos pelaksanaan program/projek meningkat.
  2. Kerja pembinaan tidak mengikut spesifikasi dan kualiti kerja kurang memuaskan.
  3. Kerajaan tidak mendapat nilai faedah terbaik best value for money.
  4. Berlaku salah laku dalam pelaksanaan program/projek.
  5. Program/projek tidak mencapai objektif keseluruhan yang disasarkan.

Dalam pada itu, LKAN turut meliputi pengauditan Indeks Akauntabiliti (IA). Pengauditan IA ini melibatkan lapan kawalan utama iaitu kawalan pengurusan, bajet, terimaan, perolehan, perbelanjaan, pengurusan aset dan inventori, dan pengurusan kenderaan. Bagi tempoh 3 tahun, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) sendiri telah diaudit dan telah memperolehi markah seperti berikut;

BilTahunMarkah
1201491.72
2201592.90
3201697.59

Berdasarkan kepada pencapaian 3 tahun tersebut, ICU JPM telah diiktiraf berada pada tahap yang cemerlang. Terdapat 2 bentuk teguran dalam LKAN iaitu teguran corrective yang memerlukan penambahbaikan sistem dan prosedur dan teguran punitive yang melibatkan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian dalam melaksanakan tugas. Bagi kes-kes yang melibatkan teguran punitive, tindakan yang akan diambil termasuklah tindakan oleh agensi penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Dalam pada itu, kes-kes tatatertib turut diambil ke atas pegawai yang terlibat. Antara hukuman bagi kes tatatertib yang telah diambil terhadap pegawai termasuklah amaran, denda, tangguh pergerakan gaji, turun gaji , turun pangkat dan buang kerja.

Kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah dalam mewujudkan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi dan berintegriti. Antara komitmen Kerajaan adalah seperti berikut :
  1. Program Pemantapan Kompetensi dan Nilai Integriti
    Institut Tadbiran awam Negara INTAN telah melatih seramai 224 pegawai bagi Kursus Pensijilan Pengurusan Projek Awam Bersepadu 3PAB dan 410 pegawai bagi Kursus Sijil Pentauliahan Perolehan Kerajaan SPPK bermula dari tahun 2014 sehingga Julai 2017.
  2. Peranan Audit Dalam
    Audit Dalam KementerianAgensi diminta untuk memainkan peranan dalam memantau aktiviti-aktiviti utama dan berisiko yang melibatkan pengurusan kewangan, pembangunan dan perolehan di Kementerian Agensi berkaitan. Audit Dalam hendaklah memberi peringatan tegas terhadap sebarang ketidakakuran prosedur dan tindakan segera hendaklah diambil oleh Ketua Setiausaha Kementerian/Setiausaha Kerajaan Negeri Ketua Eksekutif terhadap laporan Audit Dalam.
  3. Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) dan United Nations Development Programme (UNDP)Procurement Training.
    Sehingga Julai 2017, seramai 656 pegawai telah menjalani program Persijilan Pegawai Integriti Bertauliah CeIO dan 43 orang pegawai Kementerian Kewangan telah menjalani persijilan United Nations Development Programme (UNDP) Procurement Training.
  4. Lab Resolusi LKAN
    Lab ini dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mempertemukan practitioners daripada sektor pembangunan, kewangan dan perolehan daripada semua Kementerian bagi menambah baik peraturan kewangan dan pembangunan yang kerap dibangkitkan dalam LKAN. Pemantapan Ke Atas
  5. Pemantauan Projek-Projek Pembangunan
    ICU JPM juga telah mengambil tindakan penambahbaikan ke atas pengurusan projek-projek bermasalah melalui penubuhan Pasukan Khas Projek Bermasalah (PKPB). Sehingga kini, sebanyak 4 pasukan telah ditubuhkan untuk menyiasat 6 projek bermasalah. Dalam pada itu, modus pemantauan projek juga turut ditambahbaik dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas National Development Projects Intervention Committee yang dipengerusikan sendiri oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Dalam pada itu, Garis Panduan Pelantikan Kontraktor Penyiap sedang disediakan selain pembangunan sistem pangkalan data kontraktor yang merupakan jaringan kerjasama di antara Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya dan CIDB. Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU,JPM) turut menerbitkan Buku Merah yang boleh dijadikan rujukan utama oleh Kementerian/Agensi dalam menangani isu berkaitan projek fizikal di peringkat perancangan dan pelaksanaan.

Kesimpulannya, sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam menyelaras, memantau, menilai pelaksanaan dan outcome program/projek Pembangunan Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT), ICU JPM memberi perhatian khusus terhadap laporan ini. Pelaporan mengenai LKAN dibentangkan dalam Mesyuarat Pengarah-Pengarah ICU JPM dan Mesyuarat Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (JITU) sebagai lesson learn dan peringatan kepada semua warga ICU JPM untuk memastikan pengurusan projek adalah mengikut peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan.
GALERI GAMBAR
Klik pada gambar untuk paparan sebenar

Sumber : Unit Integriti,ICU
Kemas kini 09/01/2018

1184 Capaian