Bagaimana kami boleh membantu anda ?
Unit Penyelarasan Pelaksanaan
Jabatan Perdana Menteri

Perutusan Ketua Pengarah

Bismilahhirahmannirrahim,

Assalammualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama melafazkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan kurniaNya, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) telah dengan jayanya menerajui tahun 2019 dengan mencapai kejayaan sebagai pasukan dalam menyelaras pelaksanaan pembangunan nasional. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang membawa rahmat ke seluruh alam. Firman Allah SWT dalam surah Al-Anbiya' ayat 107: "Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk membawa rahmat bagi sekelian alam".

Ternyata masa bergerak dengan sungguh pantas. Tahun 2020 menggariskan hala tuju pentadbiran ICU yang baharu. Sepanjang tempoh ini, banyak ketetapan dan perubahan berkisarkan usaha mengembalikan peranan ICU yang sebenar, langkah-langkah peningkatan daya saing organisasi dan inisiatif kebajikan kepada kakitangan.

Falsafah dan keyakinan bahawa apa sahaja idea, gagasan mahupun perancangan, tidak akan mampu tercapai matlamat dengan jaya sekiranya ia hanya bergerak secara bersendirian dan semangat bekerja sebagai satu pasukan adalah penting bagi mencapai impak yang optimum. Justeru, enam gagasan utama yang perlu diberi perhatian berdasarkan kepada core business ICU JPM. Antara gagasan utama tersebut adalah seperti berikut :

Gagasan Pertama :
Rejuvenasi Peranan ICU JPM Sebagai Agensi Pusat Dalam Pemantauan Pelaksanaan Pembangunan Negara

Gagasan Kedua :
Memperkasakan Pelaksanaan Kesejahteraan Rakyat

Gagasan Ketiga :
Memperluaskan Peranan Bahagian Kesejahteraan Rakyat

Gagasan Keempat :
Memperkasa Sosio-Ekonomi Bumiputera

Gagasan Kelima :
PUSAT BANK DATA NEGARA DAN INOVASI (NADI) Merupakan Prime Mover Kepada Sistem Pemantauan Projek

Gagasan Keenam :
Kebajikan Kakitangan ICU JPM

Sebagai way forward ICU di masa hadapan, ICU JPM diberikan punca kuasa yang kukuh yang diturunkan secara langsung dari YAB Perdana Menteri sendiri iaitu, Arahan No.1 - Jentera Penyelarasan Pelaksanaan. Y.A.B. Perdana Menteri telah meluluskan Arahan No.1 2020, Mekanisme Penyelarasan Pelaksanaan Pembangunan Negara berkuat kuasa bagi semua peringkat persekutuan, negeri dan daerah mulai 1 Januari 2020.

ICU dengan ini telah mengambil langkah setapak lagi ke hadapan dengan melaksanakan pemantauan projek melalui kaedah pemantauan menggunakan teknologi DRONE. Ini bertujuan supaya situasi sebenar dan menyeluruh di tapak projek dapat dilaporkan dengan lebih tepat.

Bagi memastikan pelaksanaan dan pemantauan projek Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dapat dilaksanakan secara berkesan, pihak Pusat Bank Data Negara Dan Inovasi (NADI) sedang bekerja keras dalam penyediaan Sistem Pemantauan Projek (SPPII) 2.0 untuk diguna pakai bermula bulan Januari tahun 2021 sepenuhnya. Walau bagaimanapun, Modul permohonan akan mula digunakan pada bulan Mac tahun 2020 bagi tujuan permohonan projek RMKe-12.

Akhir kata, ICU JPM akan memberikan perkhidmatan yang cemerlang, berkualiti dan berintegriti melalui amalan urus tadbir yang terbaik dan berkesan serta selaras dengan aspirasi kerajaan baharu yang menekankan kepada good governance serta tadbir urus yang baik dan berkesan.

Sekian.

DATUK NOR AZRI ZULFAKAR
Ketua Pengarah ICU JPM