Bagaimana kami boleh membantu anda ?
Unit Penyelarasan Pelaksanaan
Jabatan Perdana Menteri
Berita Aktiviti

Program Back To School Bagi Isi Rumah eKasih Langkawi

Program Back To School Bagi Isi Rumah eKasih Langkawi

1 Januari 2019, Pulau Langkawi – YAB Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia bersama isteri beliau telah mengadakan lawatan rasmi ke Pulau Langkawi bersempena Program Back To School bagi isi rumah eKasih di Parlimen Langkawi. Setibanya YAB Perdana Menteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada pukul 10:00 pagi, beliau mengadakan lawatan ringkas ke Sekolah Rendah Kebangsaan Kedawang, Langkawi bagi meraikan kanak-kanak darjah satu yang baru melangkah ke alam persekolahan.

Program diteruskan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang, Langkawi di mana YAB Perdana Menteri telah menyampaikan amanat beliau disusuli dengan sesi penyerahan sumbangan kepada 30 kanak-kanak yang terpilih. Majlis turut dihadiri oleh YB. Dr Salmee binti Said (Exco Pendidikan Kedah), YB Tuan Juhari Bin Bulat (ADUN Ayer Hangat), YB Tuan Mohamad Firdaus Bin Ahmad (ADUN Kuah), YBhg. Datuk Zolkopli Bin Dahalan (Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri), YBrs. Dr Shahrazat Binti Hj Ahmad (Timbalan Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri), YBrs. Dr Haji Megat Sany Bin Megat Ahmad Supian (Pegawai Kemajuan Negeri Kedah), YBrs. Tuan Haji Muhammad Arof Bin Darus (Pegawai Daerah Kedah), wakil Parlimen Langkawi, wakil Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi, pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang serta guru-guru pengiring.
 
Dalam program ini, para pelajar dipilih dari kalangan keluarga yang berdaftar dalam pangkalan data eKasih di mana pendapatan isirumah adalah kurang daripada RM1200.00 sebulan. Seramai 226 orang pelajar dari 28 buah sekolah di daerah Langkawi telah dikenalpasti oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dan telah disahkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Langkawi.
 
Program Back to School ini dapat dijayakan dengan sumbangan daripada Bank Muamalat Malaysia Berhad disamping kerjasama yang melibatkan Pejabat Parlimen Langkawi, Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri. Bagi program kali ini pelajar-pelajar yang terpilih akan menerima bantuan berupa peralatan sekolah serta baucar tunai bernilai RM120 bagi pembelian buku-buku sekolah. Diharapkan dengan program sebegini dapat meningkatkan rasa tanggungjawab masyarakat sivil untuk turut membantu golongan yang kurang berkemampuan di kalangan penduduk Malaysia.
 
PPPN Kedah merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan Program Back To School bagi isi rumah eKasih di Parlimen Langkawi bersama YAB Tun Dr. Mahathir bin Mohamad.
GALERI GAMBAR
Klik pada gambar untuk paparan sebenar

Sumber : www.icu.gov.my
Kemas kini 01/01/2019

408 Capaian

PEJABAT PEMBANGUNAN NEGERI KEDAH
Unit Penyelarasan Pelaksanaan
Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM)
Aras 1, Fasa 1, Zon C
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Bandar Mu'adzam Shah
06550 Alor Setar
KEDAH DARUL AMAN

Tel : 04-7209236
Faks : 04-7209248