Bagaimana kami boleh membantu anda ?
Unit Penyelarasan Pelaksanaan
Jabatan Perdana Menteri
Soalan Lazim
FAQ Susun Semula Masyarakat

Program Rimbunan Kaseh

  1. Apa itu Program Rimbunan Kaseh ?
    Program Rimbunan Kaseh (RK) merupakan inisiatif di bawah program transformasi luar bandar yang dilaksanakan bermula pada tahun 2012. Program ini bermatlamat untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat di luar bandar, mengimbangkan pertumbuhan ekonomi di antara kawasan luar bandar dan bandar di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

    Program RK merupakan kerjasama strategik di antara Kerajaan Persekutuan selaku pembiaya projek dan Kerajaan Negeri selaku pemilik projek. Model komuniti yang dibangunkan menerusi program ini melibatkan penyediaan rumah kediaman dan komponen pertanian bersepadu serta dilengkapi dengan prasarana seperti pusat pembelajaran, pusat sumber, dewan terbuka dan surau untuk kegunaan komuniti setempat.

  2. Di mana lokasi program ini dilaksanakan?
    Program RK dilaksanakan di lapan (8) buah negeri di seluruh negara iaitu Pahang, Melaka, Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Perak, Perlis dan Sarawak.

  3. Bagaimana caranya jika saya berminat untuk menjadi peserta Program Rimbunan Kaseh?
    Setiap negeri mempunyai kriteria pemilihan peserta yang tersendiri yang diselaraskan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri yang berkenaan. Pada dasarnya, calon peserta yang produktif terdiri daripada golongan miskin, miskin tegar, mudah miskin, berpendapatan rendah dan ibu/bapa tunggal yang mempunyai tanggungan keluarga boleh diambil kira.

Pemantauan Bumiputera Sabah dan Sarawak

  1. Apakah peranan ICU JPM dalam pembangunan Bumiputera di Sabah dan Sarawak?
    ICU JPM melalui Bahagian Susun Semula Masyarakat (BSSM) bertanggungjawab menyelaras, memantau dan menilai pelaksanaan program/projek di bawah Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah dan Program Khas Bumiputera (PKB) Sarawak. Senarai program/projek dibawah PKAN dan PKB dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak bagi pelaksanaan dalam tempoh rancangan Malaysia lima tahun, beserta kos siling. Program/projek yang dirangka melibatkan program pengukuran dan pembangunan tanah Native Customary Rights (NCR), pembinaan Mahkamah Adat, penyediaan infrastruktur asas luar bandar, pembangunan ekonomi, pembangunan modal insan serta program pembangunan untuk masyarakat Penan.

  2. Apakah tujuan utama pelaksanaan PKAN Sabah dan PKB Sarawak?
    PKAN Sabah dan PKB Sarawak merupakan salah satu usaha Kerajaan bagi memastikan program dan projek pembangunan dapat dinikmati secara saksama oleh rakyat di Sabah dan Sarawak meliputi pelbagai aspek sosioekonomi seperti penyediaan akses kepada pendidikan, penyediaan infrastruktur serta pembangunan untuk semua lapisan masyarakat. Inklusiviti atau kesaksamaan merupakan strategi utama ke arah mencapai masyarakat yang makmur dan sejahtera.

  3. Adakah pelaksanaan projek dibawah PKB Sarawak turut melibatkan Masyarakat Penan?
    Hak dan kepentingan masyarakat Penan di Sarawak juga di beri perhatian selaras dengan prinsip inklusiviti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11). Program/projek yang dirancang bertujuan merapatkan jurang serta membolehkan masyarakat Penan menikmati kemudahan yang saksama dari segi kemudahan asas, pendidikan, kesihatan dan sebagainya. Salah satu program yang disediakan khusus kepada masyarakat Penan ialah pembinaan Rural Service Centre (RSC) atau Pusat Perkhidmatan Luar Bandar. RSC berfungsi sebagai pusat sehenti dan membawa pelbagai perkhidmatan Kerajaan kepada penduduk Penan yang tinggal di kawasan pedalaman Sarawak. Di antara perkhidmatan yang disediakan adalah seperti rawatan kesihatan dan pergigian, pendaftaran kelahiran, pendaftaran bantuan kebajikan masyarakat, kempen perancangan keluarga oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), asas keselamatan dan kebakaran daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat dan sebagainya.