Bagaimana kami boleh membantu anda ?
Unit Penyelarasan Pelaksanaan
Jabatan Perdana Menteri
Soalan Lazim
FAQ Penilaian Strategik

  1. Apakah Penilaian Outcome ?
    Penilaian Outcome adalah proses pengumpulan data secara terperinci, lengkap dan bebas bagi memaklumkan kepada stakeholders mengenai kesan yang berlaku selepas sesuatu program/projek pembangunan dilaksanakan.  Ia akan menilai sejauhmana objektif dan sasaran outcome yang digariskan di peringkat perancangan benar-benar tercapai sekaligus mengukur kesan dan perubahan yang berlaku terhadap golongan sasar dari aspek sosial, ekonomi, politik dan juga alam sekitar.

  2. Apakah Kitaran Projek ?
    Kitaran projek terdiri daripada perancangan, pelaksanaan dan penilaian.

  3. Apakah Punca Kuasa Bagi Penilaian Outcome ?
    Surat Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 2012 (Garis Panduan Pengukuran Pencapaian Program/projek Pembangunan Melalui Penilaian Outcome) yang dikeluarkan pada/bertarikh 19 Oktober 2012.

  4. Apakah Faedah Penilaian Outcome ?
    Antara faedahnya ialah
    1. membantu stakeholders membuat keputusan yang lebih berimbang
    2. mengurangkan risiko
    3. meningkatkan kecekapan dan integriti agensi
    4. memastikan terdapat nilai pulangan pelaburan yang bersesuaian
    5. memenuhi kehendak stakeholders dan meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan

  5. Langkah-Langkah Penyediaan Laporan Penilaian Outcome
    Penyediaan Laporan Penilaian Outcome melibatkan langkah berikut
    1. Pengenalpastian Program/Projek
    2. pembentukan Terma Rujukan (TOR)
    3. pengumpulan data
    4. penganalisisan data
    5. penyediaan laporan
    6. pembentangan

  6. Apakah Kriteria Bagi Pemilihan Projek Untuk Dibuat Kajian Penilaian Outcome ?
    Kriteria pemilihan projek untuk dibuat kajian ialah
    1. kepentingan nasional
    2. keutamaan kementerian/agensi/jabatan/kerajaan negeri
    3. golongan sasar yang besar
    4. kos yang tinggi
    5. kesan berganda

  7. Apakah Kriteria Indikator Pencapaian Yang Baik?
    Kriteria indikator pencapaian ialah
    1. specific (S)
    2. measurable (M)
    3. accurate (A)
    4. relevant (R)
    5. timeliness (T)

  8. Apakah Software Yang Digunakan Dalam Data Analisis (Data Primer)?
    Statistical Package for Social Sciences (SPSS)

  9. Format Laporan Penilaian Outcome Program Pembangunan ?
    1. Tujuan
    2. Latar Belakang Program/Projek
      1. Maklumat Program/Projek
      2. Skop Program/Projek
      3. Objektif Program/Projek
      4. Kumpulan Sasar
      5. Tempoh Kajian (Mula-Tamat)
    3. Terma Rujukan (TOR)
      1. Skop Kajian
      2. Metodologi Kajian
        i) Kaedah-kaedah Kajian yang dijalankan
        ii) Pemilihan data/sampel
    4. Pembentukan Indikator Pencapaian Key Performance Indicator (KPI)
          i) Sasaran dan Pencapaian Output
          ii) Sasaran dan Pencapaian Outcome
    5. Analisis Kajian
    6. Pemerhatian dan keputusan
    7. Isu dan Masalah
    8. Syor/Cadangan Penambahbaikan
    9. Rumusan/Penutup
    10. Lampiran

  10. Apakah forum untuk pembentangan kajian Penilaian Outcome?
    Pembentangan Kajian Penilaian Outcome Boleh Dibuat Di Mesyuarat Berikut.
    1. Jawatankuasa Kerja Penilaian Outcome ICU JPM (JKPO)
    2. Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian (JTPK)
    3. Jawatankuasa Kerja Tindakan Negara (JKTN)
    4. Jawatankuasa Kerja Tindakan Negeri (JKTNg) dan Majlis Tindakan Negeri (MTNg)
    5. Majlis Tindakan Negara (MTN)

  11. Penjelasan mengenai Modul Penilaian Outcome
    Modul Penilaian Outcome merupakan salah satu modul utama di dalam Sistem Pemantauan Projek II (SPPII) yang bertujuan membolehkan penilaian berasaskan teras, dasar, program dan projek dijana dengan cepat dan tepat membantu pemantauan outcome sesuatu program dan projek terhadap kumpulan sasar.

  12. Apakah Komponen Dalam Penilaian Outcome?
    Komponen-komponen dalam Penilaian Outcome ialah
    1. Dasar
      Dasar merupakan teras utama yang digubal oleh kerajaan dalam menguruskan program pembangunan di Malaysia. Ia merujuk kepada dasar sedia ada dan yang terdapat dalam dokumen yang berkaitan seperti Dasar Pertanian Negara Ketiga, Dasar Perindustrian Negara, Dasar Sosial Negara dan Dasar Dadah Negara. Dasar dalam konteks penilaian adalah kenyataan yang ada hubung kait secara langsung dengan tujuan program pembangunan yang hendak dinilai.
    2. Objektif
      Objektif merujuk pada komitmen pengurusan untuk mencapai matlamat dasar melalui program pembangunan yang telah ditetapkan. Hasil yang dicapai hendaklah mempunyai hubungan secara langsung dengan strategi dan matlamat organisasi. Sehubungan ini, objektif dalam konteks penilaian telah ditetapkan semasa program dirancang dan objektif boleh dirujuk dalam dokumen-dokumen yang berkaitan seperti permohonan RMLT dan Bajet Persekutuan Tahunan.
    3. Program
      Program merujuk pada perancangan pembangunan sesebuah kementerian/jabatan/agensi dan pentadbiran negeri yang diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi (UPE) untuk dilaksanakan dalam tempoh RMLT.
    4. Kumpulan Sasar
      Kumpulan sasar ialah penerima faedah secara langsung dan tidak langsung daripada program pembangunan yang dilaksanakan. Bagi tujuan penilaian program pembangunan, kumpulan sasar perlu dinyatakan secara spesifik dan outcome program untuk kumpulan ini mestilah dapat diukur.
    5. Bidang Hasil Utama
      Bidang Hasil Utama (BHU) merupakan perkara yang perlu dikenal pasti terlebih dahulu untuk menentukan pencapaian output dan outcome sesuatu program. Ia bertujuan untuk memandu dan memudahkan pembentukan Indikator Pencapaian (IP).
    6. Indicator Pencapaian
      Indikator Pencapaian merupakan petunjuk prestasi sesuatu program berbanding dengan sesuatu yang ditetapkan. IP boleh berbentuk kuantitatif dan/atau kualitatif. Indikator Pencapaian kuantitatif, ditunjukkan melalui peningkatan atau penurunan merentasi dua tempoh masa, iaitu mula dan tamat dalam bentuk bilangan, kadar atau peratus.
    7. Sasaran Outcome
      Sasaran Outcome merupakan matlamat outcome yang ingin dicapai daripada program pembangunan yang dilaksanakan terhadap kumpulan sasar. Dalam proses perancangan program pembangunan, sasaran outcome biasanya ditetapkan.
    8. Output
      Output merupakan kesan langsung yang diperolehi daripada pelaksanaan sesuatu program pembangunan.
    9. Outcome Sebenar
      Outcome Sebenar merupakan hasil yang diperolehi daripada pelaksanaan program pembangunan dalam jangka pendek.
    10. Penilaian Impak
      Impak merupakan kesan daripada pelaksanaan program pembangunan dalam jangka panjang. Kaedah penilaian impak berbeza antara satu program pembangunan dengan yang lain. Penilaian boleh dibuat secara kuantitatif, kualitatif atau gabungan kedua-duanya.
    11. Analisis Jurang Perbezaan
      Analisis Jurang Perbezaan merupakan perbezaan antara sasaran outcome dengan outcome sebenar daripada pelaksanaan program pembangunan. Analisis ini juga merupakan perbandingan antara praprogram dengan pasca program bagi tujuan membuat rumusan penilaian.
    12. Analisis Pelaksana Dan Kumpulan Sasar Program Pembangunan
      Analisis dibuat berdasarkan pendapat dan penilaian agensi-agensi yang terlibat secara langsung dengan pelaksanaan program pembangunan dan penerima faedah program pembangunan tersebut. Analisis ini amat membantu dalam membuat rumusan penilaian program pembangunan yang dilaksanakan.

  13. Apakah perkara-perkara yang dinilai di dalam penyediaan Ulasan kepada Memorandum Jemaah Menteri Bagi Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Badan Berkanun Persekutuan ?
    Perkara-perkara yang dinilai bagi penyediaan Ulasan kepada Memorandum Jemaah Menteri termasuklah profil organisasi, prestasi kewangan, pelaksanaan projek pembangunan dan matlamat penubuhan organisasi selain daripada melihat penilaian terhadap program pembangunan (penilaian outcome).

  14. Pihak manakah yang bertanggungjawab dalam menentukan setiap program dan projek pembangunan Badan Berkanun Persekutuan ?
    Kementerian bertanggungjawab menentukan setiap program dan projek Badan-Badan Berkanun Persekutuan yang bersesuaian dan selaras dengan Dasar Kerajaan dan seterusnya kelulusan daripada Agensi Pusat yang berkenaan.

  15. Apakah peranan utama Ahli Lembaga Pengarah bagi setiap Badan-Badan Berkanun Persekutuan ?
    1. Setiap Ahli Lembaga Pengarah perlu memahami Dasar Kerajaan yang berkaitan Badan-Badan Berkanun Persekutuan;
    2. Memahami objektif Badan-Badan Berkanun Persekutuan tersebut;
    3. Memastikan Laporan prestasi Aktiviti dan Pencapaian dikemukakan ke Kementerian setiap tiga (3) bulan;
    4. Memahami fungsi dan tanggungjawab seorang Ahli Lembaga Pengarah; dan
    5. Memahami kuasa seorang Ahli Lembaga Pengarah

  16. Apakah garis panduan atau surat pekeliling utama yang digunakan oleh setiap BBP dalam menjalankan pentadbirannya ?
    Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 1998 - Garis Panduan Mengenai Peranan dan Tanggungjawab Kementerian, Lembaga Pengarah Dan Ketua Pegawai Eksekutif Dalam Pengurusan Badan Berkanun Persekutuan, Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 4 Tahun 2007 - Garis Panduan Untuk Penyediaan Dan Pembentangan Laporan Tahunan Dan Penyata Kewangan Badan Berkanun Persekutuan dan Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2012 - Garis Panduan Pengukuran Pencapaian Program/Projek Pembangunan Melalui Penilaian Outcome.

  17. Bagaimana tatacara bagi pelantikan Ahli Politik sebagai Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Badan Berkanun Persekutuan ?
    Pelantikan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah di kalangan ahli politik hendaklah mendapat persetujuan Perdana Menteri secara rasmi yang dikemukakan oleh Kementerian melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.